Batik madu tiga dijangka jadi pilihan peminat batik tahun depan
JOHOR BAHRU: Kraftangan Malaysia sedang giat mempromosikan batik terkini dikenali sebagai Batik Madu Tiga sekali gus menjadi pilihan peminat batik tahun depan.
Pereka Fesyen Kraftangan Malaysia Nur Shaadah Kamaruddin berkata inovasi terbaharu itu kini dipamerkan menerusi Festival Kraf Johor (FKJ) 2016 yang berlangsung di Plaza Angsana, di sini mulai 15 Dis hingga Ahad ini.
"Untuk promosi lanjut, batik ini akan dipamerkan pada Hari Kraf Kebangsaan di ibu negara yang dijangka akhir Feb tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor Muhamad Razib Saruddin.
Nur Shaadah berkata Batik Madu Tiga atau batik bercorak tiga lapis berkenaan merupakan inovasi dimulakan Kraftangan Malaysia sejak enam bulan lepas sebagai usaha mempelbagaikan jenis rekaan batik.
Beliau berkata kain Batik Madu Tiga berukuran empat meter dijual antara RM250 hingga RM400 bergantung jenis kain iaitu kapas, sifon, satin atau crepe.
Menurutnya selain dihasilkan menjadi pakaian, beberapa produk aksesori turut dihasilkan menerusi batik itu termasuk beg, alas meja dan sarung bantal.
"Teknik pembuatan Batik Madu Tiga pada kain kapas, sifon, satin atau crepe ini lebih rumit berbanding batik biasa kerana ia memerlukan tiga kali cetakan blok serta mengambil masa hampir dua hari untuk disiapkan bagi sehelai kain.
"Coraknya pula adalah padat dan bertindih. Bagi Batik Madu Tiga yang dihasilkan dengan dicampur teknik canting, harganya pula lebih mahal kerana pembuatannya rumit," katanya.-- BERNAMA