FGV saran pelabur nilai prestasi untuk tempoh jangka masa lebih panjang


FGV saran pelabur nilai prestasi untuk tempoh jangka masa lebih panjang

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings (FGV) Bhd menyarankan semua pelabur utamanya menilai prestasi syarikat itu bagi tempoh jangka masa yang lebih panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Datuk Zakaria Arshad mengakui sememangnya berlaku kerugian di atas kertas kepada semua pelabur-pelabur utama FGV namun katanya sebagai sebuah syarikat perladangan terdapat faktor-faktor secara langsung seperti cuaca yang memberi kesan kepada prestasi.

Menurutnya, meskipun faktor-faktor tersebut telah mempengaruhi sentimen pelabur ke atas saham kaunter berasaskan komoditi sawit termasuk FGV, tetapi fundamental syarikat itu perlu diambil kira.

"Apa yang penting ialah kita perlu melihat bahawa fundamental Kumpulan FGV masih lagi kukuh dan seharusnya menjadi perkara yang dipertimbangkan bagi meyakinkan pelaburan," kata Zakaria dalam satu kenyataan pada Selasa bagi menjawab berkenaan kerugian pelabur-pelabur saham utama FGV.

Sejak disenaraikan pada 2012, FGV tidak pernah gagal memberi dividen kepada semua pemegang saham walaupun berdepan dengan situasi yang mencabar.

"Ini jelas menunjukkan FGV adalah sebuah syarikat yang kukuh dan berpotensi besar untuk berkembang pada masa depan," katanya.

Saham FGV didagangkan sekitar RM1.50-RM1.70 pada bulan ini.

Zakaria berkata, ketika disenaraikan pada Jun 2012, harga saham FGV diterbitkan pada RM4.55 sesaham dan melonjak ke paras melebihi RM5.00 pada awal apungan disebabkan sentimen pasaran yang cukup baik.

Menurutnya, harga komoditi dan pasaran industri perladangan sawit pula berada di tahap yang cukup tinggi dan penyenaraian dibuat pada tempoh yang tepat.

"Selepas itu, harga komoditi sawit dunia mula mencatatkan penurunan yang secara langsung telah mempengaruhi sentimen pelabur ke atas kaunter-kaunter saham berasaskan komoditi berkenaan termasuklah FGV.

"Penurunan ketara harga saham FGV mula dicatatkan pada 2014 di mana ketika itu berlaku penurunan drastik harga minyak sawit mentah (MSM) dunia dan banjir besar," jelasnya.

Lebih malang lagi, katanya, berlaku fenomena El-Nino terburuk dalam sejarah pada 2015 yang bukan sahaja memberi kesan kepada FGV malah kepada syarikat perladangan sawit yang lain.

"Pada pertengahan tahun 2016, harga MSM dunia mula mencatatkan peningkatan yang baik dengan merekodkan harga harian melebihi RM3,000 setan metrik.

"Bagaimanapun disebabkan impak fenomena El-Nino telah menyebabkan pengeluaran merosot untuk jangka masa yang lebih lama dari dijangkakan," katanya.

Zakaria berkata FGV bertekad untuk memastikan kumpulan memberikan pulangan yang baik kepada pemegang saham serta pihak berkepentingan melalui proses transformasi perniagaan dan operasinya di bawah pelan strategik 2017-2020.

"Pelan strategik ini dijangka mula membuahkan hasilnya pada 2017 dan membantu operasi kumpulan terus mampan untuk jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata ketika ini FGV berada di landasan betul untuk mencapai sasaran penjimatan kos pentadbiran sebanyak RM100 juta.

FGV juga giat menambah baik operasi perniagaan teras, menstrukturkan semula operasi, mengoptimumkan aset sedia ada dan mengukuhkan kewangan kumpulan.

"Apa yang penting ialah kita perlu melihat bahawa fundamental Kumpulan FGV masih lagi kukuh dan seharusnya menjadi perkara yang dipertimbangkan bagi meyakinkan pelaburan," katanya.

-- BERNAMA

Subscribe to receive free email updates: