Fikirlah: Awas, si 'tangan panjang' kenduri-kendara
KUALA LUMPUR: "Pukul berapalah hendak gerak? Majlis dibuatnya malam di Shah Alam, mesti jem teruk tambahan pula hari ini hari Jumaat".
Banyak kali rakan penulis ini merungut. Malah, boleh dikatakan sejak awal pagi lagi hatinya tidak tenteram memikirkan jemputan yang diterimanya itu.
Hendak ditolak, rasa tidak 'beradab' pula apatah lagi kad undangan perkahwinan dihulurkan secara bersemuka oleh tuan majlis dan bukannya melalui teknologi masa kini, WhatApps atau Facebook.
Mungkin ada mempertikaikan buat apalah hendak peningkan kepala, bukannya jauh mana pun jarak perjalanan antara Kuala Lumpur dan Shah Alam. Memanglah, tetapi bagi warga kota pastinya amat maklum situasi jalan raya berkenaan apatah lagi kalau hari Jumaat.
"Akak keluar pejabat pukul 5.30 petang dan sampai di sana dalam pukul lapan lebih. Bukan akak seorang lambat, ramai lagi tetamu lain turut tersangkut dalam jem. Ini masalahnya kalau kenduri malam, masa agak 'limited'.
"Sampai tidak tentu arah dan terkejar-kejar kita dibuatnya. Mengapalah buat malam, Shah Alam pula," ceritanya kepada penulis.
MUSIM BERKAHWIN
Kata orang, bulan Disember adalah bulan perkahwinan, musim ibu bapa terima menantu. Mana tidaknya, banyak jemputan kenduri kahwin atau dipanggil 'bekwah' mahupun 'makan gulai' dalam kalangan orang pantai timur, pastinya telah diterima sejak akhir November lagi.
Malah undangannya berderet-deret sehinggakan tidak sah kalau tidak ada tiga atau empat majlis dalam sehari. Ada daripada rakan pejabatlah, universitilah mahupun saudara-mara yang kebanyakannya tidak mahu melepaskan peluang mengadakan majlis pada bulan ini.
Bukan apa, masa itu dianggap paling sesuai untuk ahli keluarga jauh dan dekat berkumpul bersama-sama kerana ada cuti sekolah panjang, jadi mudahlah mereka merancang perjalanan.
Menariknya, kenduri yang dihadiri ada ketikanya sudah terasa seperti program Jejak Kasih pula apabila lama tidak bersua muka. Riuh rendah suasana apatah lagi kisah silam diimbau kembali.
Bagi mereka, tidak kisahlah di mana sekalipun majlis diadakan kerana yang penting kemeriahan meraikan pengantin baharu dirasai bersama-sama.
Maka tidak menghairankanlah apabila senarai dewan kebiasaannya sudah penuh sejak dari awal lagi. Orang kata, 'last minute' tempahan memang susahlah hendak dapat dan disebabkan itulah ada yang terpaksa buat malam kerana kepadatan penggunaannya.
PENCURI BERMUSIM
Akan tetapi, masih ramai lagi yang gemar mengadakan majlis kahwin di rumah mereka biarpun trend hari ini cenderung kepada penggunaan dewan dan hotel.
Kebiasaannya, ia menjadi pilihan bagi mereka yang tinggal di pinggir bandar. Kata mereka, keseronokan dan nikmat silaturrahim itu lebih dirasai kerana ia dijalankan secara bergotong-royong atau rewang bersama jiran dan penduduk sekitar.
Dengan deretan khemah dipasang mengikut warna tema majlis, pelamin indah dibuat dalam mahupun luar serta kelibat pakcik makcik membawa pisau kecil ke rumah pengantin untuk membantu apa yang patut.
Kemeriahannya begitu jelas dirasai, apatah lagi apabila satu kampung atau kawasan kejiranan bekerjasama menyediakan pelbagai jenis lauk pauk. Akan tetapi, awas!
Konsep rumah terbuka yang diamalkan keluarga Melayu semasa musim kenduri-kendara sebenarnya memberi peluang kepada penjenayah memecah masuk tanpa disedari.
Dalam erti kata mudah, pemilihan rumah pengantin sebagai lokasi majlis adalah lebih berisiko berbanding dewan mahupun hotel.
IKUT TREND
Bukan isu baharu, kes kecurian kenduri kahwin ataupun apa sahaja majlis yang diadakan di rumah sudah banyak kali dilaporkan di dada akhbar serta menjadi viral dalam laman sosial seperti Facebook.
Malah, taktiknya juga berbeza. Pada awal era 80-an dan 90-an, kes kehilangan kasut tetamu di rumah pengantin paling banyak kedengaran. Maklumlah, tidak lengkap menghadiri kenduri kahwin kalau tidak masuk ke dalam rumah.
Ketika itu, kita boleh dengar suara makcik yang bingit meradang apabila terpaksa balik berkaki ayam ataupun selipar selepas kasut cantik tinggi mereka dirembat orang.
Bagaimanapun, paling menyedihkan adalah kehilangan wang hantaran. Kalau diimbas kembali, kebanyakan wang hantaran diberikan dalam bentuk tunai yang digubah cantik ataupun diletakkan di dalam album gambar.
Boleh dikatakan, ia menjadi tumpuan ramai sehinggakan ada menyibuk hendak menjengok sambil berteka-teki sesama mereka berapa banyaklah wang hantaran yang diberikan pengantin lelaki.
Yalah, waktu itu penggunaan cek, bank draf belum lagi popular. Ini membuatkan, ada yang memasang misi jahat. Malah penulis masih ingat kejadian lima tahun lepas, sejumlah RM10,000 hilang semasa kenduri kahwin sepupu.
Walhal, duit itu telah disembunyikan di tempat tertentu di dalam bilik.
TIKA SIBUK
Biarpun demikian, sejajar dengan peredaran masa dan belajar kesilapan lepas, orang sekarang kebanyakannya sudah menggunakan cek atau paling mudah memasukkan terus wang hantaran ke dalam akaun pengantin perempuan.
Lebih selamat, kata mereka. Bagaimanapun, penyamun bermusim ini turut sama menukar taktik mereka. Mengambil kesempatan atas 'kecuaian' tuan rumah dan tetamu, pencuri ini sentiasa mengintai ruang untuk menjalankan operasi.
Wang hantaran, bukan lagi fokus mereka. Tetapi, barangan hantaran dan beg tangan tetamu wanita menjadi tumpuan penyamun bermusim ini. Apatah lagi, trend barangan hantaran tidak lagi seperti dahulu.
Gajet elektronik yang mahal harganya seperti telefon bimbit, tablet, kamera dan jam mewah mula mengambil tempat menggantikan tradisi barangan hantaran cara lama.
Dengan menyamar sebagai saudara keluarga pengantin atau tetamu yang dijemput, menariknya modus mereka beroperasi semasa hadirin penuh sesak menjamu selera dan berjoget lambak manakala pengantin sedang bersanding di atas pelamin.
Ibu ayah pengantin pula, sibuk melayan tetamu. Ketika inilah, mereka menyelinap masuk ke bilik tidak berkunci dan menyelongkar beg tangan ahli keluarga tuan rumah atau mencari apa sahaja yang berharga.Maklumlah, masa itu mana sesuai berkepit dengan beg tangan kerana ada sahaja kerja yang kena buat. Jadi, kebanyakannya akan dikumpulkan dan diletakkan di dalam bilik.
Bagaimanapun, paling tidak disangka apabila ada pencuri yang masih lagi boleh berdolak-dalih walaupun sudah ditangkap tuan rumah dengan memberi alasan sedang mencari tandas atau teruja tengok bilik pengantin.
Bilik pengantin adalah antara satu lagi tarikan tetamu untuk menjengok keindahan dekorasi ruang berkenaan pada hari kenduri.
ELAKKAN KECUAIAN
Justeru, kes kecurian di kenduri kahwin atau apa sahaja majlis keramaian adalah sewajarnya menjadi peringatan dan iktibar buat semua yang bakal melangsungkan majlis di rumah.
Ini termasuklah tetamu dan mereka yang terlibat seperti jurusolek dan jurugambar. Sudah ada beberapa kes melibatkan kehilangan beg tangan dan perkakasan kamera ketika mereka sedang sibuk membuat kerja.
Begitu jugalah dengan tetamu, jangan dibiarkan sahaja beg tangan ketika berseronok bergambar dengan pengantin. Malah, adalah sebaiknya tuan rumah memperuntukkan satu bilik khas yang berkunci sepanjang masa untuk simpanan barangan berharga.
Kelalaian adalah sebaiknya dielakkan, malah tuan rumah boleh mengagihkan tugas tertentu kepada mereka yang dipercayai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Ini kerana, ada juga saudara mara yang panjang tangan semasa majlis ataupun tetamu menyamar sebagai wakil pengantin untuk mendapatkan 'salam berisi' daripada para jemputan.
(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis) -- Bernama