FRIM kenal pasti 25 spesies tumbuhan ubatan untuk prototaip
KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 spesies daripada 500 tumbuhan ubatan dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai produk prototaip yang boleh dikomersialkan, sidang Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri berkata spesies itu kini dianalisis dan diuji oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
"Ujian itu antara lain meliputi fitokimia (ujian kimia), penentusahkan aktiviti biologi, antidiabetik, antioksidan, antimikrob, antikanser, antiprotozal dan tahap keselamatan," katanya.
Beliau menjawab soalan asal Senator Isa Ab Hamid mengenai usaha mempaten produk herba Orang Asli oleh FRIM dan jumlah produk yang telah dipatenkan dan dikomersialkan.
Hamim berkata untuk rekod, dua produk prototaip 'Semelai Secret' daripada pengetahuan tradisi kaum Semelai telah dibangunkan berdasarkan projek perintis pada tahun 2013 hingga 2014.
Tiga produk prototaip "Pengloy Semai" daripada pengetahuan tradisi kaum Semai telah dibangunkan dari tahun 2014 hingga tahun ini, katanya sambil menambah, FRIM juga telah mendokumenkan pengetahuan tradisi 17 daripada 18 subetnik Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Hamim berkata aktiviti dokumentasi itu adalah satu daripada inisiatif bagi memelihara pengetahuan tradisi Orang Asli berkaitan tumbuhan ubatan yang mempunyai nilai ekonomi dan menghalang kecurian bio dan salah guna.
-- BERNAMA