Kejohanan Gran Fondo New York di Malaysia bakal tarik pelancong ke Perak


Kejohanan Gran Fondo New York di Malaysia bakal tarik pelancong ke Perak

PETALING JAYA: Buat julung kalinya peminat lumba basikal di Malaysia dapat menyertai kejohanan marathon antarabangsa, Gran Fondo New York (GFNY), yang bakal diadakan di Tambun, Ipoh, Perak pada April 2017.

Acara bertaraf dunia itu bakal menjadi acara pembuka tirai bagi festival tahunan, Ipoh Cycle Fest.

Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab, GFNY merupakan satu publisiti terbaik kepada industri pelancongan negara.

"Saya yakin acara itu dalam masa yang sama dapat mempromosikan Tahun Melawat Perak pada tahun hadapan.

"Saya pasti dengan perhatian yang kita dapat nanti, ia akan menarik lebih ramai pelancong dan peminat lumba basikal ke negara kita terutamanya di Ipoh pada April depan. 

"Dalam masa yang sama, ia akan memperkenalkan keunikan Ipoh di mata dunia, menjana ekonomi setempat dan memberi pengalaman menarik buat pelancong. Saya yakin Ipoh akan menjadi lokasi terbaik buat sirkit ini pada tahun hadapan,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

GFNY yang akan berlangsung pada 23 April depan dijangka disertai lebih 500 pelumba amatur dan profesional dari dalam dan luar negara.

Selain itu, ia turut memberi peluang kepada pelumba amatur dan profesional bersaing dalam satu acara yang sama.

Acara dikelolakan Destination Perak Sdn Bhd dan X-Camp Adventure Sdn Bhd sejauh 160 kilometer itu akan menyusuri laluan hijau hutan selain hutan batu kapur.

Pendaftaran bagi GFNY Malaysia telah dibuka sejak 18 Disember lalu, dengan harga permulaan serendah RM255 (US$60).

Selain Malaysia, sebanyak 13 negara lagi telah dipilih menganjurkan GFNY untuk tahun 2017, antaranya Itali, Jerman, Brazil dan Indonesia.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang, www.gfnymy.com.

Subscribe to receive free email updates: