Myanmar berhadapan ancaman bahaya dari Daish - Ayob Khan
KUALA LUMPUR: Myanmar kini berhadapan dengan ancaman berkemungkinan untuk menjadi sasaran serangan oleh anggota kumpulan militan Daish yang berpangkalan di Asia Tenggara, susulan tindakan pembunuhan terhadap warga Rohingya di negara itu.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, pihak berkuasa Malaysia telah berjaya menahan seorang suspek pengikut Daish, yang merancang untuk ke Myanmar bagi melancarkan serangan.
Suspek terbabit, seorang warga Indonesia ditahan di Malaysia bulan lalu dan bakal didakwa kerana memiliki bahan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh, kata Ayob.
Katanya lebih ramai pengikut Daish dijangka akan mengambil langkah yang sama bagi memperjuangkan nasib warga Rohingya.
“Suspek bercadang untuk melakukan Jihad di Myanmar, bagi menentang kerajaan Myanmar yang menindas warga Rohingya di negeri Rakhine,” katanya seperti dilaporkan Reuters.
Tentera Myanmar pada Oktober lalu bertindak melancarkan operasi di Rakhine, wilayah ke utara negara itu sehingga menyebabkan lebih 34,000 warga minoriti Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, lapor Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu.
Penduduk dan aktivis mendakwa berlakunya pembunuhan beramai-ramai dan rogol dalam operasi itu yang dikatakan sebagai reaksi kepada serangan keatas sebuah balai polis yang meragut sembilan nyawa anggotanya.
Kerajaan bagaimanapun menafikan insiden terbabit berlaku.Pada Oktober, jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay memaklumkan kepada Reuters tiada bukti anggota kumpulan Daish terbabit dalam serangan itu.