Rangkuman pagi: 5 berita pilihan
BERIKUT adalah berita yang menjadi tumpuan untuk hari ini, 4 Januari 2017.
Guru panik dipindahkan dengan traktor dalam banjir
Banjir yang melanda perkarangan Sekolah Kebangsaan Padang Kubu di sini cukup mencemaskan guru, Arizuddin Abdul Wahab, 36, yang baru dua hari ditugaskan ke sekolah itu.
Baginya, pengalaman dipindahkan dari kawasan banjir menaiki traktor amat mendebarkan.
Pusat pemindahan dinaiki air, mangsa dibawa ke pusat pemindahan kedua
Mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Seri Puteh, Tok Lawit terpaksa dipindahkan kali kedua ekoran pusat pemindahan itu dinaiki air sejak lewat petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tok Lawit Suhaimi Ali berkata seramai 137 mangsa daripada 46 keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kuala Ping dan Surau Al Hidayah Kampung Tok Lawit kira-kira 300 meter dari dewan tersebut.
Harap FIFA benar Faiz pakai pakaian tradisional Melayu pada majlis Anugerah Puskas - ISMMA
Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) berharap calon Anugerah Puskas, Mohd Faiz Subri dibenarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk memakai pakaian tradisional Melayu ketika menghadiri majlis anugerah itu.
Pengerusi ISMMA Datuk Wira Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata mengikut kod pakaian majlis itu, kesemua hadirin lelaki harus memakai pakaian kemas bersama tali leher warna gelap.
Mahkamah benar Nurul Izzah cabar cadangan persempadanan semula Wilayah Persekutuan
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan 10 pengundi kawasan itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Kuala Lumpur oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal dikemukakan Jabatan Peguam Negara mewakili SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai responden.Ambil penumpang secara haram, denda lebih RM200,000 dikenakan SPAD sepanjang 2016
Lebih RM200,000 jumlah denda dikenakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kepada individu-individu yang mengambil penumpang secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 melalui tangkapan yang dijalankan sepanjang tahun lepas.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata operasi penguatkuasaan yang dilakukan secara berterusan sepanjang 2016 itu membabitkan 58 kes tangkapan yang terdiri daripada pemandu teksi, kereta sapu, Uber dan GrabCar serta ulat tiket.