'Kami beli kenderaan Proton sebab sokong Kereta keluaran Negara Islam' - Pemuda Kelab Proton Turki

TURKI - Walaupun sukar mendapatkan alat ganti kereta buatan Malaysia ini, namun ia bukanlah halangan bagi pengguna dan pencinta kenderaan Proton dari kalangan warga Turki.

Muhamad Nur Thaqib Shaker, pelajar Malaysia di Turki, Exco Data, Komunikasi dan Perhubungan MASAT berkongsi pengalamannya pernah ternampak beberapa kereta Proton model lama yang masih menyelusuri jalan raya di negara itu seperti Proton Waja, Saga dan terdapat juga Proton Waja yang dijadikan sebagai teksi di Istanbul.

Apa yang lebih mengejutkan, terdapat Kelab Proton Turki yang ditubuhkan bagi menghimpunkan para pengguna dan pencinta kenderaan Proton.

Muhamad tidak melepaskan peluang untuk mendekati kumpulan ini dan ingin mengetahui mengapa kereta Proton menjadi pilihan mereka.

"Kebanyakannya mengatakan sebab utama mereka membeli dan menggunakan kenderaan Proton ialah untuk menyokong kenderaan keluaran Malaysia sebagai sebuah negara Islam, di samping harga Proton yang begitu murah.

"Dari segi aspek keseluruhan, mereka mengakui bahawa ia sebuah kenderaan berkualiti, selesa, kukuh dan baik dari segi pemanduan. Namun mereka berdepan dengan kesukaran untuk menemui pakar kereta PRoton dan juga kesulitan untuk mendapatkan alat gantinya," tulis Muhamad.

Bagi seorang pemuda Turki yang berusia 19 tahun dari Istanbul ini, Hami Akyuz, merupakan peminat tegar jenama Proton telah menggunakan sekurang-kurangnya 18 jenis kereta Proton semenjak 8 tahun dan masih setia bersama jenama Proton.

"Proton adalah kenderaan yang berkualiti, selesa dan mampu beli. Saya dan peminat jenama kereta Malaysia ini juga amat berharap model baharu Proton dapat masuk ke Turki lagi," ujarnya.

Okan, 33 juga berasal dari Istanbul, mula memandu kereta Proton sejak dua tahun lalu. Bagi Okan yang pernah bekerja dalam sektor kenderaan dan sudah biasa dengan pelbagai jenama kereta lain, Proton dianggap sebagai antara otomobil yang berkualiti tinggi.
"Proton mempunyai prestasi yang baik setanding dengan jenama kenderaan dari negara lain. Sekiranya dilihat pada harganya yang berpatutan dan sememangnya merupakan salah sebuah kenderaan yang terbaik.

"Saya harap Malaysia terus berjaya dan saya meminta supaya kerajaan dan rakyat Turki terus menerus menyokong kenderaan ini," katanya.

Difahamkan, Proton pernah dibawa masuk ke pasaran negara itu seawal tahun 1993 dengan jenama Proton Wira. Tetapi hanya empat buah sahaja untuk pertunjukan kereta. Sekitar lima unit Proton dihantar ke Turki untuk percubaan kali pertama pada 1994 di bawah kendalian Ortaklar Motor.
Kemudian Proton kembali masuk ke pasaran Turki pada 1997 di bawah kendalian JetPA tetapi hanya bertahan sehingga tahun 2000 selepas syarikat tersebut mengalami masalah.

Pada tahun 2004, Proton sekali lagi dibawa masuk ke Turki di bawah Ulumotor yang bertindak sebagai pengedar utama di Turki sehingga ke hari ini

Subscribe to receive free email updates: