BNM terus tingkat kerjasama dengan bank pusat serantau
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyasarkan untuk meningkatkan kerjasama dengan bank pusat serantau untuk terus membuka potensi pertumbuhan rantau ini dan menyokong komuniti ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
Gabenor BNM Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata bank pusat telah lama menjadi penyokong yang kuat kepada integrasi ekonomi kewangan di ASEAN dan Asia.
"Kami percaya ini merupakan langkah untuk mencapai kemajuan bagi rantau ini, dan yang memerlukan institusi kita untuk terus mengukuhkan hubungan yang telah kukuh dalam membina keupayaan untuk mengurus risiko dalam persekitaran yang lebih mencabar," ujarnya.
Muhammad berkata demikian pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara BNM, Bank Indonesia dan Bank of Thailand mengenai rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan di Bangkok, Thailand pada Jumaat.
"Kami berharap kerjasama yang erat dengan Bank Indonesia dan Bank of Thailand serta bank pusat lain di rantau ini," katanya.
Teks ucapan beliau dikeluarkan di Kuala Lumpur.
Pemeteraian hari ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyediakan rangka kerja dasar dan institusi untuk menggalakkan keadaan pasaran kewangan yang teratur dan menyokong pengurusan risiko kewangan yang cekap.
"Langkah ini membolehkan pengeksport dan pengimport di negara kita menguruskan risiko pertukaran asing dengan lebih baik dengan menggunakan mata wang tempatan untuk melaksanakan aktiviti perdagangan dan pelaburan," katanya.
Selain meningkatkan kecekapan kos untuk perniagaan, permintaan yang meningkat bagi produk kewangan mata wang tempatan akan turut menyumbang ke arah meningkatkan pasaran kewangan di rantau ini, yang merupakan kunci untuk mengukuhkan lagi keadaan bagi kestabilan kewangan serantau, kata Gabenor.
Beliau berkata apabila BNM dan Bank of Thailand melaksanakan langkah itu pada Mac 2016, mereka melihat potensi dan manfaat bagi mata wang tempatan memainkan peranan yang lebih penting dalam meningkatkan hubungan perdagangan serantau.
"Pengembangan langkah hari ini untuk melibatkan rakan dagang rapat kita, Indonesia, yang mengambil kira potensi ini," kata Muhammad.
Beliau juga berkata susulan muktamadnya Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN; "Kami yakin institusi kewangan di kedua-dua negara akan dapat bekerjasama ke arah merealisasikan matlamat untuk memudahkan pelaburan dan perdagangan merentas sempadan dengan lebih baik".Langkah kerjasama antara bank pusat kini berkembang kepada merangkumi mentakrif rangka kerja operasi dan protokol dengan jelas dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan pasaran kewangan, penyeliaan, pemantauan, aturan pembayaran dan pengurusan krisis.
-- BERNAMA