Kesederhanaan Brunei Darussalam bawa ketenangan
“JANGAN fikir berapa harga selepas convert. Tukar ke ringgit memang rasa lagi mahal,” itulah yang dikatakan teman-teman sewaktu saya di Brunei.
Memang terasa nilai ringgit tu jauh berbeza dari dolar Brunei apabila saya membayar sesuatu di sana.
Negara Brunei Darussalam, sebuah negara yang aman pada pandangan dan rasa. Tiada pencakar langit seperti di Kuala Lumpur, tiada hiruk-pikuk kesesakan jalan raya malah kereta pun berhenti saat melihat sesiapa yang hendak melintas jalan. Ya, setiap kali!
Sejujurnya, Brunei bukanlah seperti kota metropolitan yang sering kita lawati mahupun bayangkan. Brunei adalah negara membangun yang maju namun masih mengekalkan ciri-ciri kesederhanaan walaupun negara-negara lain menganggap Brunei sebagai sebuah negara mewah dan dilimpahi kekayaan.
Melihat Brunei adalah seperti melihat Malaysia pada tahun 1990-an dengan bangunan kedai-kedai yang ‘old school’ dan persekitaran yang tidak terlalu moden.
Yang menariknya, papan-papan tanda di Brunei disertakan dengan tulisan Jawi walaupun papan tanda tersebut mempunyai nama bahasa Inggeris.
Tahukah anda, bahawa anda boleh berkunjung ke Brunei melalui dua cara iaitu domestik dan antarabangsa.
Domestik? Anda boleh mengambil penerbangan ke Miri, Sarawak dan menggunakan kereta memasuki Brunei melalui sempadan menuju ke daerah Belait. Bagi penerbangan antarabangsa, pilih penerbangan terus ke Bandar Seri Begawan.
Brunei mempunyai empat daerah iaitu Belait, Tutong, Brunei-Muara dan Temburong. Perjalanan saya selalunya mengambil masa antara satu hingga dua jam dari Kuala Belait ke Bandar Seri Begawan menggunakan kereta.
Pengangkutan awam di Brunei masih tidak semaju Malaysia. Tiada perkhidmatan GrabCar mahupun Uber kerana rata-rata rakyat Brunei mempunyai kereta sendiri dan tiada keperluan untuk menggunakan teksi mahupun perkhidmatan bas. Penggunaan motor juga melibatkan motor berkuasa tinggi sahaja.
Menariknya, anda boleh melalui keseluruhan daerah dan mukim Brunei dalam sehari kerana saiz negara yang kecil dan populasi yang kurang dari setengah juta orang.
Mencuba nasi katok
Seperti di Malaysia, kepelbagaian makanan kita adalah kerana masyarakat yang majmuk. Namun, di Brunei, pilihan makanan mereka tidak terlalu pelbagai namun masih enak.
Ambuyat dan nasi katok merupakan dua makanan kegemaran saya setiap kali berkunjung ke Brunei.
Ambuyat adalah makanan yang dibuat dari tepung sagu rumbia yang dikenali sebagai 'ambulong' oleh rakyat tempatan dan kebiasaannya dimakan bersama 'cacah' seperti tempoyak, sambal binjai serta lauk-pauk yang disukai.
Ambuyat adalah makanan tradisi Brunei, sebagaimana ia merupakan makanan tradisi di Borneo seperti di Sabah dan Sarawak.
Nasi katok pula pada asalnya merupakan nasi yang dijual ke rumah-rumah. Penjual akan mengetuk pintu untuk menjual nasi dan terciptalah nama nasi katok atau dalam ejaan rasmi bahasa Melayu, 'ketuk'.
Nasi katok yang berharga 1 dolar adalah nasi putih bersama ayam goreng dan disertakan sambal. Namun terdapat pelbagai variasi dalam nasi katok sekarang seperti nasi katok dengan 'butter milk chicken'.
Budaya masyarakat
Masyarakat Brunei majoritinya adalah Melayu, selain terdapat beberapa etnik lain seperti Bisayah, Bidayuh dan juga kaum Cina. Landskap sosialnya turut diwarnai sebilangan kecil pendatang dari India, Nepal dan Filipina yang datang bekerja di Brunei dan wakil demokrat dari negara-negara Barat.
Kita di Malaysia mungkin secara umum menganggap rakyat Brunei sebagai rakyat yang kaya raya dan mewah, namun, realitinya mereka masih sama seperti kita. Masih ramai yang memilih hidup sederhana.
Menyentuh soal gaya hidup masyarakat Brunei, mereka mempunyai gaya hidup yang berbeza. Hidup masyarakat Malaysia sentiasa mengejar masa, namun mereka tidak.
Bayangkan kehidupan di luar bandar di Malaysia yang tidak sibuk, tidak terkejar-kejar ke sana sini, namun masih mempunyai kemudahan seperti di bandar. Itulah Brunei.
Rakyat Brunei bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta. Sektor swasta sememangnya didominasi oleh sektor minyak dan gas kerana Brunei mempunyai sumber minyak dan gas yang banyak sehingga kini.
Berbeza dengan Malaysia, masyarakat Brunei juga baru berjinak-jinak dalam sektor perniagaan kecil sederhana dan industri makanan.
Kos sara hidup di Brunei tidaklah tinggi namun kerana tiada cukai dan nilai mata wang yang setara seperti dolar Singapura, kebanyakan mereka mampu menggunakan kereta berjenama luar negara. Kesannya, kita melihat orang Brunei sebagai rakyat mewah sedangkan bagi standard mereka, itu masih kehidupan sederhana.
Ciri tradisional
Jarang untuk melihat rumah teres mahupun rumah flat di Brunei, kebanyakan mereka mempunyai rumah banglo kerana keluasan tanah dan pemilikan tanah yang lebih mudah di Brunei. Terdapat beberapa kawasan yang mempunyai perumahan teres seperti di Mengkubau dan Kampung Panaga namun, perumahan ini kebanyakannya adalah insentif Sultan Brunei kepada rakyat yang dinamakan Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ).
Melihat latar belakang sosial dan budaya di Brunei, kebanyakan mereka masih menerapkan ciri-ciri tradisional dalam pemakaian baju kurung dan baju cara Melayu (di Malaysia dikenali sebagai Baju Melayu) dengan corak corak fabrik yang klasik.
Di sekolah-sekolah kerajaan dan acara-acara rasmi yang menjemput Sultan, mereka yang tidak beragama Islam hendaklah mengenakan tudung bagi menghormati Sultan dan titah baginda yang memerintah negara.
Selain itu, sesuatu yang menarik perhatian saya sepanjang di sana adalah sewaktu melintas jalan. Kenderaan akan memberhentikan untuk memberi laluan dan jika anda memandu, jarang sekali terdengar bunyi hon. Mereka mengamalkan budaya kesopanan yang sangat bagus dalam hidup seharian.
Saya sempat berkunjung ke pasar petang mereka atau dikenali sebagai Tamu. Antara makanan dan kuih muih yang dijual kebanyakannya adalah serupa seperti yang kita selalu lihat tetapi, nama saja yang berlainan dan salah satu daripada jualan yang sangat diminati ramai adalah 'tongkeng ayam' bakar.
Satu amalan yang dapat kita contohi di sini adalah kebersihan. Susah untuk kita lihat sampah dibuang merata-rata. Bahkan di Tamu sekalipun, teramatlah bersih setelah mereka selesai berniaga. Mengagumkan!
Apa yang menarik?
“Tiada apa di Brunei kecuali masjid-masjid yang terkenal ni,” jelas teman saya sewaktu kami ke bandar untuk bersiar-siar.
Beberapa perkara yang perlu diketahui selain papan tanda yang bertulis dalam tulisan Jawi, bangunan-bangunan di Brunei dibina supaya tidak melebihi ketinggian struktur masjid atas titah baginda Sultan Brunei. Salah satu masjid yang terkenal adalah Masjid Jame'Asr Hassanil Bolkiah dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang kubahnya diperbuat daripada emas tulen.
Satu tarikan yang saya rasakan kita sebagai rakyat Malaysia perlu tahu adalah Tugu Jam Peringatan. Tugu adalah sebuah tugu bersempena dengan lawatan keberangkatan Tuanku Abdul Rahman ke Negeri Brunei pada 6 hingga 12 Julai 1959. Tugu ini melambangkan betapa teguh dan erat hubungan antara Brunei dan Persekutuan Tanah Melayu.
Setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu tarikan. Seperti di Seria, terdapat sebuah tugu yang dipanggil 'Billionth Barrel Monument' yang menandakan penghasilan tong minyak yang ke-satu bilion pada 1991 oleh Brunei Shell Petroleum (BSP).
Jika Malaysia mempunyai hotel-hotel bertaraf enam dan tujuh bintang yang terkenal kepada para pengunjung negara Malaysia, Brunei pula mempunyai The Empire Hotel & Country Club di Brunei-Muara yang menjadi salah satu tumpuan penginapan selesa bagi masyarakat tempatan dan para pelancong.
Pemandangan di sekitar hotel ini sangat cantik kerana terletak di tepi pantai yang sangat bersih dengan airnya yang jernih.
Selain itu, hotel ini mengunakan batu marmar berkualiti tinggi serta taman seluas 180 hektar yang bersambung langsung dengan hamparan padang golf.
Menariknya, terdapat sebuah panggung wayang di sebelah hotel ini yang memudahkan anda untuk meluangkan masa bersama rakan dan keluarga selepas bersiar-siar di tepi pantai.
Sewaktu di Brunei, saya juga berkesempatan untuk singgah ke sebuah karnival iaitu Karnival DST – karnival seperti Jom Heboh di Malaysia.
Karnival ini diadakan di Jerudong Park, salah sebuah taman tema air yang terbesar dan termahal di Asia Tenggara. Sepanjang saya di sana, di sinilah paling ramai orang Brunei yang saya lihat berkumpul dan meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga.
Masih banyak yang belum saya lawati dan saya kongsikan seperti Kampung Ayer dan daerah Temburong yang terasing dari daerah lain kerana dipisahkan oleh Malaysia dan disitulah terletaknya Taman Negara Ulu Temburong dan pusat tumpuan eko-pelancongan bagi Brunei.
Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang kecil namun menarik. Jika anda berkunjung ke sini, cuba lawati kawasan kawasan yang tidak terdapat dalam buku pelancongan dan rasai kedamaian yang terdapat di sini. Ia sebuah negara yang aman seperti namanya.
Semoga berjumpa lagi, Brunei Darussalam.