Liga Super 2017: Kelantan kekal tarik diri
KOTA BHARU: Kongres luar biasa Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) hari ini memutuskan pasukan The Red Warriors tidak dapat bersaing dalam Liga Super 2017.
Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Affandi Hamzah berkata, keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh ahli gabungan dalam kongres itu.
Namun exco Kafa diberikan peluang sehingga 6 Januari ini untuk mengumpul dana sekurang-kurangnya RM3 juta bagi memastikan The Red Warriors dapat beraksi musim depan.
“Kongres hari ini mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Exco Kafa sebelum ini namun ahli-ahli meminta kita supaya terus berusaha mencari dana untuk terus bermain.
“Kita memerlukan dana sekurang-kurangnya dana RM3 juta untuk permulaan, sekiranya kita mendapat tajaan tersebut dan jaminan daripada penaja-penaja lain maka kita akan terus bermain.
“Namun sehingga hari ini kita tidak ada dana sebanyak itu dan kita memohon kepada penaja supaya tampil secepat mungkin sebelum 6 Januari ini,” katanya. dalam sidang media selepas kongres luar biasa tersebut di sini.
Kafa yang berhadapan krisis kewangan serius memerlukan dana sebanyak RM15 juta pada musim depan untuk kekal kompetitif bersaing dalam Liga M.