Kekalkan gaya pemakanan sihat semasa musim perayaan - Subramaniam
KUALA LUMPUR: Gaya pemakanan sihat perlu diamalkan masyarakat dalam sebarang musim perayaan yang disambut sepanjang tahun di negara berbilang kaum ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata orang ramai perlu berhati-hati apabila mengambil makanan dan senantiasa mengamalkan pemakanan sederhana dengan mengambil kira risiko penyakit jika mengambil makanan secara berlebihan.
"Semasa musim perayaan, kita harus senantisa ingat bahawa kesihatan adalah nikmat paling besar.
"Mari kita fokus pada kesihatan kita dengan mengamalkan pemakanan secara sihat dan ketika menyambut Krismas dan Tahun Baharu," kata beliau dalam ucapan sempena Krismas pada Jumaat.
Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata, Krismas adalah hari yang amat bermakna dan penuh tradisi dan oleh itu hari istimewa ini perlu disambut bersama ahli keluarga dan rakan-rakan dalam suasana mesra.
Bagi rakyat Malaysia, Subramaniam berkata, ia merupakan satu lagi kesempatan untuk berkumpul bagi mengukuhkan perpaduan kaum dan persefahaman agama yang telah lama terjalin dengan mengadakan rumah terbuka yang menjadi tradisi unik menyambut sebarang perayaan di Malaysia.
"Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua rakyat Malaysia yang menyambut Krismas.
"Semoga Tuhan memberkati keamanan dan kegembiraan dalam hati sanubari keluarga di Malaysia biarlah ini menjadi satu lagi kesempatan untuk semua rakyat Malaysia bersatu-padu dengan mengetepikan perbezaan agama dan kaum," kata beliau.-- BERNAMA