#SayangMalaysia: Promosi pelancongan 2017 melalui pertandingan foto, video pendek
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan melaksanakan pertandingan foto dan video pendek di media sosial dengan subtema #MyCuisine mulai 1 Januari 2017 hingga 28 Februari 2017.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan ini perlu menghantar foto atau video pendek kreatif berkaitan keunikan dan kepelbagaian jenis makanan dan minuman yang menjadi tarikan dan warisan kaum-kaum di Malaysia melalui Instagram atau Facebook.
Bagi menyertai pertandingan video pendek, orang ramai perlu memuatnaik video pendek berdurasi antara 30 hingga 60 saat di Instagram dan Facebook dengan hashtag #SayangMalaysia berserta hashtag #MyCuisine.
Pertandingan ini menawarkan pelbagai hadiah menarik bagi tempat pertama hingga ketiga dan 5 hadiah saguhati. Antaranya hadiah yang disediakan berupa tiket percuma penerbangan dalam negara, penginapan percuma di destinasi popular terpilih dalam negara, tiket percuma taman tema terkenal, baucer beli-belah di pusat beli-belah terkenal dan banyak lagi.
Pertandingan ini dianjurkan bersempena Kempen #SayangMalaysia oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan serta menggalakkan penyertaan pelancong domestik dan luar negara menggunakan media sosial untuk berkongsi detik indah dan keunikan semasa mereka berada Malaysia.
Sepanjang tempoh Kempen #Sayang Malaysia ini, orang ramai berpeluang menyertai enam pertandingan foto dan video pendek sepanjang tahun 2017 dengan 6 subtema setiap pertandingan seperti berikut:
i. #MyCuisine : Januari hingga Februari
ii. #MyDestination : Mac hingga April
iii. #MyCulture : Mei hingga Jun
iv. #MySport : Julai hingga Ogos
v. #MyEvent : September hingga Oktober
vi. #MyFamilyFun : November hingga DisemberMaklumat lanjut berkaitan pertandingan ini boleh didapati di laman web rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia iaitu www.motac.gov.my/sayangmalaysia
Kempen #SayangMalaysia merupakan inisiatif lautan biru kebangsaan (NBOS) antara Jabatan/Agensi kerajaan dan pihak swasta seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Latihan Khidmat Negara, iM4U, Badan Bukan Kerajaan dan pihak industri pelancongan.