Korea Utara semakin hampir siapkan peluru berpandu antara benua


Korea Utara semakin hampir siapkan peluru berpandu antara benua

SEOUL: Korea Utara dilaporkan bakal melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang pertama buat negara itu dalam tahun ini.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berkata, penyelidikan dan pembangunan kini giat dijalankan dan penyediaan roket ujian ICBM kini pada fasa akhir.

“Ujian serta penyelidikan ICBM kini di fasa terakhir dan sedang dijalankan secara aktif,” katanya dalam ucapan Tahun Baharu di stesen televisyen tempatan.

Menurut pemerhati senjata, ujian peluru berpandu balistik itu belum pernah dijalankan Korea Utara tetapi tahun 2016 menjadi tahun pembangunan teknologi tersebut.

Senjata itu dilihat mempunyai kemampuan menyerang sehingga ke Amerika Syarikat.

Korea Utara telah dikenakan sekatan di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2006 akibat ujian peluru berpandu dan balistik namun, ia diperketatkan  selepas Pyongyang menjalankan ujian nuklear kelimanya dan terbesar dalam sejarah pada 9 September 2016.

Februari tahun lalu juga menyaksikan negara nuklear paling terpencil itu melancarkan satelit ke angkasa lepas sebagai salah satu ujian jarak jauh dalam teknologi peluru berpandu balistik.

Subscribe to receive free email updates: